Khamis, 27 Oktober 2011

Nadia #2

Bunyi sms masuk dari telefon bimbit. Aku memandang kiri dan kanan mengesan dari mana datangnya bunyi itu. 

Sebenarnya aku sudah terlupa tempat pertama aku letak telefon bimbit itu sebaik melangkah masuk ke rumah tadi. 

Telefon bimbit berlagu lagi. Aku dapat kesan bunyi getaran di celah antara televisyen dan speaker. Cis.

Di skrin telefon bimbit terpapar nama pemanggil, Along Rauf. Aku tekan butang menjawab panggilan. 

"Assalamualaikum Fiq," aku mengecam suara Along Rauf di hujung talian. 

"Waalaikumsalam Along," aku menjawab sopan. 

"Malam ni kita pergi ziarah orang sakit,"

"Siapa?"

"Ayah Man, Along dapat info dia tak berapa sihat," 

"Bila tu Along?"

"Malam ni, lepas maghrib," 

"Ok, saya ambil Along di rumah," 

"Ok, Assalamualaikum..." 

"Waa..." belum sempat aku jawab, Along letak panggilan, "Waalaikumsalam," 

***

Aku duduk di sofa sebelah Along Rauf, bertentang dengan Ayahanda Razman, yang aku gelar Ayah Man. 

Tubuh tua itu bersandar di sofa, sesekali dia terbatuk.

"Dah lama ke ayah tak sihat ni? Awat tak habaq," tanya Along Rauf bila melihat duduk Ayah Man sudah mula selesa. 

"Mana aku nak habaq dekat hangpa semua, sekoq-sekoq tak nampaq batang idung," jawab Ayah Man, getar suaranya sedikit tegas tapi perlahan. Aku sekadar mendiamkan diri. 

"Adik, hang tu awat lambat no buat ayaq," tempik Ayah Man, sambil berpaling ke arah pintu dapur. Aku menegakkan kepala, juga melihat ke arah dapur. Along Rauf diam menunduk. 

Seorang gadis, rambut bertutup selendang ringkas, menutup sedikit wajahnya keluar dari dapur membawa dulang berisi air.

Sampai di tempat kami berborak, si gadis sopan menyusun cawan dan teko ke meja. Terlihat wajahnya dari dekat, saat dia menuang air ke dalam gelas di hadapan aku. 

Cantik. Cuma satu perkataan terdetik dalam fikiran aku ketika itu.

***

<Sebelum | Seterusnya>



0 komen: